Tuesday, May 4, 2010

Jatuh bangun MIC

Ke manakah arah MIC selepas kemenangan calonnya P. Kamalanathan dalam Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor? Bagaimanakah hala tuju MIC dalam usaha memperkasakan parti tersebut supaya terus kekal relevan dan dominan dalam konteks masyarakat India menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-13 nanti?


Perjuangan MIC ibarat 'hidup mati' MIC di Hulu Selangor telah memberikan satu harapan, nafas dan hidup baru untuk parti yang kini menjangkau usia 64 tahun. Kemenangan MIC berjaya membantu menjayakan misi parti untuk merampas semula satu daripada enam kerusi Parlimen yang tercicir pada PRU 2008. Faktor kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi elemen utama untuk masyarakat India kembali ke pangkuan BN kali ini.

Penulis sendiri dapat memahami betapa panasnya hati masyarakat India luar bandar apabila bercakap pasal isu-isu kebajikan rakyat. Kekecewaan jelas terpancar di wajah mereka. Namun apabila disebut nama Najib Tun Razak, wajah mereka kembali menjadi tenang.

"Kami bukannya menentang MIC ataupun BN. Kami hanya mahukan kualiti kehidupan yang sejahtera. Kami yakin Perdana Menteri Najib Tun Razak telah mendengar suara kami. Kami yakin beliau akan datang sekali lagi ke Hulu Selangor selepas ini dan makan daun pisang bersama masyarakat India di sini.



Tiga kawasan Parlimen yang berjaya dimenangi pemimpin MIC ialah Datuk Dr. S. Subramaniam (Segamat), Datuk S.K. Dewamany (Cameron Highlands) dan Datuk M. Saravanan (Tapah). Pada PRU 12 MIC gagal mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Siput, Hulu Selangor, Subang, Kota Raja dan Kapar. Di samping itu, MIC turut kecundang 12 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Persoalannya, apakah hala tuju MIC selepas ini? Jangan terlalu berseronok ataupun lupa diri dengan kemenangan di Hulu Selangor. MIC perlu menilai semuanya. Kemunculan budaya 'politik baru' di mana masyarakat India tidak rela diri mereka diperalatkan untuk kepentingan politik.

MIC juga perlu menilai semula budaya 'politik perkauman mengikut parti' yang semakin lantang dibicarakan. Apakah trend seperti ini dapat menyelamatkan masa depan MIC?

Kemunculan semula bekas Naib Presiden MIC Datuk S. Sothinathan ke kancah politik MIC bersama Samy Vellu di Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor baru-baru ini turut menjadi perbualan hangat. Bagaimana pula hala tuju politik bekas Timbalan Presiden MIC Datuk S. Subramaniam selepas ini?

Sudah tentu Samy Vellu memiliki jawapannya. Selepas berjaya mengembalikan semula kekuatan MIC di Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor, sudah pasti beliau tidak mahu dirinya dihukum lagi selepas ini sepertimana yang dilaluinya pada PRU 2008. Masanya sudah tiba untuk mendengar suara rakyat.

PenuliS ialah perunding media dan pemerhati politik




No comments:

Post a Comment