Jatuh bangun MIC
Ke manakah arah MIC selepas kemenangan calonnya P. Kamalanathan dalam Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor? Bagaimanakah hala tuju MIC dalam usaha memperkasakan parti tersebut supaya terus kekal relevan dan dominan dalam konteks masyarakat India menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-13 nanti?
Penulis sendiri dapat memahami betapa panasnya hati masyarakat India luar bandar apabila bercakap pasal isu-isu kebajikan rakyat. Kekecewaan jelas terpancar di wajah mereka. Namun apabila disebut nama Najib Tun Razak, wajah mereka kembali menjadi tenang.
"Kami bukannya menentang MIC ataupun BN. Kami hanya mahukan kualiti kehidupan yang sejahtera. Kami yakin Perdana Menteri Najib Tun Razak telah mendengar suara kami. Kami yakin beliau akan datang sekali lagi ke Hulu Selangor selepas ini dan makan daun pisang bersama masyarakat India di sini.
Persoalannya, apakah hala tuju MIC selepas ini? Jangan terlalu berseronok ataupun lupa diri dengan kemenangan di Hulu Selangor. MIC perlu menilai semuanya. Kemunculan budaya 'politik baru' di mana masyarakat India tidak rela diri mereka diperalatkan untuk kepentingan politik.
MIC juga perlu menilai semula budaya 'politik perkauman mengikut parti' yang semakin lantang dibicarakan. Apakah trend seperti ini dapat menyelamatkan masa depan MIC?
Kemunculan semula bekas Naib Presiden MIC Datuk S. Sothinathan ke kancah politik MIC bersama Samy Vellu di Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor baru-baru ini turut menjadi perbualan hangat. Bagaimana pula hala tuju politik bekas Timbalan Presiden MIC Datuk S. Subramaniam selepas ini?
Sudah tentu Samy Vellu memiliki jawapannya. Selepas berjaya mengembalikan semula kekuatan MIC di Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor, sudah pasti beliau tidak mahu dirinya dihukum lagi selepas ini sepertimana yang dilaluinya pada PRU 2008. Masanya sudah tiba untuk mendengar suara rakyat.
PenuliS ialah perunding media dan pemerhati politik